Thursday, July 29, 2010

Biar saya mati dulu.


Kelmarin, pulang dari Damansara, gadis popcorn berteriak dalam kereta. Meracau racau hingga menitis mutiara. Tangan di sisi kepala. 'Migrain' katanya. Saya hanya diam. Tidak biasa. Saya genggam hujung tangannya. Tenangkan mana terdaya.

Sungguh saya paling lemah lihat hawa menangis. Tambah lagi bila hawa itu cinta saya. Rasa mahu dakap dan doa;

'Tolong tuhan, biar saya mati dulu.'

Monday, July 26, 2010

Nanti bila saya kaya.


Saya sudah selongkar pelusuk bandaraya. Saya juga sudah susur gerai gerai maya. 'Tidak masuk Malaysia' rata rata kata para peniaga.

Saya kenal satu gerai maya di facebook. Beli barang dari atas talian. Dari seberang lautan ditawarkan saya bantuan. Tapi belanjanya kalau dikira semua sudah cecah setengah ribu. Saya fikir dalam dalam. Saya congak congak belanja harian.

Nantilah. Tunggu saya kaya.

Friday, July 23, 2010

Anatomi perang saudara 2007.


Tahun itu tahun dua ribu tujuh, waktu saya sedang bersemester pendek di kampus utama sambil menghitung enam bulan terakhir bergelar pelajar diploma.

Hidup masa itu memang indah. Kelas dua jam sehari dengan kehadiran berlatar belakangkan gadis gadis comel dari kampus cawangan. Macam saya. Terlalu santai jadi saya penuhkan masa masa kosong dengan mengembara ke pelusuk ibukota.

Dari Sungei Way ke menara berkembar.

Keluar sahaja keputusan periksa semester lepas, saya rasa mahu gali tanah tuhan dan kuburkan muka sendiri. Malam itu saya tidur paling lewat. Meracau-racau atas katil marahkan diri sendiri.

Dalam hati saya berbisik. 'Habislah. Pasti perang saudara nanti'.

Wednesday, July 21, 2010

Rama-rama kuning.



Saya sarankan kamu tetapkan kadar kelantangan suara ke tahap paling balada dan gugelkan liriknya. Kemudiannya dengar sambil hayati ceritanya. Kalau tidak sebak kamu pasti bukan manusia.

Atau kamu belum pernah merasai kehilangan. Mudah?

Tuesday, July 20, 2010

Dosa hujung minggu.


Hujung minggu itu saya panjat bukit dan tunjuk tanda 'berjaya' pada ibukota.

Maaf. Kualiti gambar telefon kamera berkekuatan 2 megapiksel memang mengecewakan. Saya belum punya modal untuk kamera refleksi satu lensa digital mahupun kamera tembakan siber.

Sunday, July 18, 2010

Ovasi berdiri dari Superhero.


Satu yang saya suka pasal gadis ialah mereka akan terus terusan menghantar ucapan 'saya rindu awak' biar baru satu hari tidak berjumpa. Satu hari tidak berjumpa berbanding lima hari pergi dan balik kelas bersama. Satu berbalas lima. Kalau berjudi pasti kalah.

Tadi bila saya hantar pesanan ringkas, masih ada ucapan sama; 'Saya rindu awak'. Di belakang ada juga pesanan ini. 'Saya mahu keluar dengan Bella petang ini. Malam nanti baru kita bertemujanji ya.'

Gadis popcorn ni. Haish.

Friday, July 16, 2010

Masa hadapan.


Nanti bila hari lahir saya, tak perlu bersusah payah bagi gitar signature Tom De Longe atau kasut futbol yang Cristiano Ronaldo pakai atau sut Topman setengah ribu. Kek coklat besar juga saya tak mahu.

Cukup dengan ucapan penuh di dinding facebook saya. Mulia kan?

Monday, July 12, 2010

Sunday, July 11, 2010

Berkasih dengan Lady Gaga.


Bila saya jejakkan kaki ke ruang tren di stesen Bukit Jalil, pantas mata saya meliar mencari tempat duduk kosong. Tiada. Di sudut kecil bersebelah pintu saya labuhkan beg laptop hitam dan kasut macbeth matthew saya.

Dalam perjalanan ke Hang Tuah, saya sasarkan anak mata dari hujung ke hujung tren.

Ah. Rasa macam mahu berkasih dengan Lady Gaga.

Monday, July 05, 2010

Gadis popcorn.


"Kalau nak kahwin nanti jangan dengan orang Kelantan dan Negri Sembilan. Mak tak suka. Yang lain takpe"

Statisme-nya ibu saya. Mujur saya punya made in Selangor.

Thursday, July 01, 2010

Bintang jagung.


Jagung punya variasi warna dan pelbagai lapis kulitnya. Bintang itu besar, jauh, terus bersinar dan punya teman bernama bulan menemani malamnya.

Cornstar (saya) ialah lelaki yang tidak besar, tidak bersinar, satu warna, satu lapis kulitnya dan tiada punya teman bernama bulan.

Langsung tidak sama bukan?