Wednesday, January 19, 2011

Sangap.


Menganjak Februari, saya lebih selalu sendiri.

Dari duduk bersimpuh beralas cadar kosong saya sedayanya cuba beralih posisi. Cuba, berjaya dan kini bersandar. Liang roma membuka luas diangkat paras getaran nadi yang luar biasa nadanya. Saya perlahan dan longgarkan sendi tangan.

Mengagak yang imaginasi murah tadi akan turut menghilang. Diam dan pejam.

Berjaya.

Saya buka mata bila imaginasi tadi berganti yang lain. Lain cuma pada susuk si pendukung. Rentak dan suntingan gaya masih sama. Pengakhiran yang terlalu mudah kalau hendak diduga. Bunga, daun, dahan dan akar entah ke mana.

Dasar.

Mata saya pejam kembali. Pejam yang mungkin akan buat saya tewas.

Hilang dan mati.

Jam 6 pagi saya gegas bangun, capai tuala dan terus ke kamar mandi. Sejuk air pagi saya rasa macam menyelam di Kutub Utara. Cukup untuk memati cerita semalam. Dan buka jalan untuk hari yang baru.

Thursday, January 13, 2011

Jatuh bila diangkat tinggi.


Bagi saya, gadis yang punya gambar hang-out dengan teman paling banyak di facebook itu jatuh dalam dua kategori. Sama ada dia sudah selesa dikenali ramai atau dia sedang tergesa mencari teman yang ramai untuk dikenali.

Mungkin.

Ironinya juga ada dua.

Dia sangat sunyi dan para lelaki sedang berkira-kira untuk mengkafirkannya.

Wednesday, January 12, 2011

The comedown.


Hakikat terus hidup dalam gelumang dosa memang sukar untuk saya elak. Hari-hari saya, rasanya penuh dengan catitan di kiri dari di kanan. Itu kalau mengikut kiraan saya. Kalau pada yang menulis, mungkin berganda lebihnya.

Tipulah kalau kata-kata saya ini tidak pernah ada dusta. Saya kan juga manusia biasa.

Thursday, January 06, 2011

Kejutan.

Saya benci menunggu dan kejutan.

Hidup ini kan penuh dengan kejutan. Satu kotak hitam hadiah malaikat maut belum tentu tanpa merah dan biru isi kandungannya. Mana tahu ada tujuh jalur pelangi tersusun kemas di dalam. Cuma perlu berani rungkai tali pengikat dan kertas pembalut tadi.

Tapi kalau merumus yang matahari bakal terbit dari kaki barat, itu memang jelas salahnya.


Yang sebenarnya, saya takut.

Saturday, January 01, 2011

Tuhan.


Saya berdoa supaya tuhan dua ribu sebelas tidak sekejam tuhan-tuhan sebelumnya. Kejam? Mungkin akal saya sudah hilang atau ia sudah berbaki negatif. Pelik tapi memang.

Dua ribu sepuluh, saya yang paling ceria. Belum puas, saya mahu semua itu ada lagi.

Oh ya. Tahun itu sengaja saya salah eja-kan. Maaf.