Friday, April 13, 2012

Bilik tidur kosong itu nampak penuh sesak malam ini.



Malam itu puas saya berperang dengan hati sendiri. Dari satu pagi, saya rela paksa diri untuk mati sementara dan menuju jam empat, saya masih gagal.

Rata-rata fikir saya berkisar tentang keluh rasa gadis popcorn pada awal malam semalam. Tentang tidak selesa. Tentang hedonisma manusia beragama bosan dan mudah percaya.

Juga tentang le familia.

Kotak hidup saya dan keluarga terlalu kecil skalanya. Ukur lilitnya. Kecil yang kalau mahu susun atur salah silah cerita dalam luas kertas mahjong, satu saya rasa sudah cukup besar. Berbaki. Jadi untuk kebarangkalian yang gadis popcorn nanti akan di heret, di jaja ke lain dunia itu memang tidak ada.

Bukan yang lain itu tidak ada. Ada, cuma suara mereka sudah cukup lama saya bisukan dan pandangan mereka sudah siap dari awal saya gelapkan. Biar usul-usul kritik dosa dari mereka nanti terbang terus dengan bawaan angin semasa. Hilang tanpa perlu saya dengar dan tanpa perlu siapa sakit.

Biar.

Dan menghampiri jam lima, saya masih belum habis membilang biri-biri putih dalam kandang besar hijau separuh padang bola. Masih berkira-kira akan warna asal sang serigala. Masih membunuh garis-garis jiwa yang sudah semakin dekat tarikh luputnya.

Hidup ini singkat, tapi kalau untuk saya bazirkan pada nama-nama dalam senarai jiwa, itu tiada masalah bagi saya.

Tapi bukan mereka; maggots.


Monday, April 09, 2012

Reminiscence.



Lapang hujung minggu itu diguna sebaiknya oleh saya dan gadis popcorn. Dua hari bermakna yang akan tercatit mati dalam jiwa. Dari kentang goreng, the voices dan tentang siapa yang popular. Dua hari yang berjarak dengan dunia, jauh dari tuan tanah dan tuhan angkasa.

Kisah seorang bintang jagung yang sedang bahagia.


Wednesday, April 04, 2012

Kelas pertama.




Hidup dalam dunia ini senang. Pertama kerna kau sentiasa punya garisan untuk kau berhati-hati dari terlepas ke luar. Kedua sebab kau punya sekeliling yang kalau tidak banyak, akan ada satu atau dua yang akan terus mengingatkan kau tentang susun-kitar hidup semasa. Yang mana setiap kali kau menghampiri jatuh ke garisan itu, maka pasti akan ada tangan-tangan suci menarik kau untuk naik berdiri. Meninggal jauh dari ruang tadi.

Dengan mereka ini kau belajar erti kehidupan. Macam aku; dari famili, teman baik dan sekeliling, aku belajar tafsir dunia satu langkah demi satu langkah yang lain.

Mereka yang kerap kali persoalkan pada aku tentang pembahagian dosa dan pahala. Tentang catitan tidak rasmi kiri dan kanan aku. Ya, adat hidup seorang lulusan agama yang atur hidupnya umpama pelantar neraka. Bagi mereka. Tidak langsung bagi aku. Ini syurga aku. Walau bagaimana jijik dan kotor mereka tafsirkan status aku, walau bagaimana rendah mereka letakkan taraf unjuran aku, aku tidak peduli. Ini pilihan aku. Jalan hidup dan aku bahagia begini.

Aku hadam satu penulisan pengembaraan dokumentasi ke utara negara. Tempat tinggal yang manusianya bertarung nyawa atas tiket merdeka. Menuntut kebebasan dan kesudahan dari petuannya. Dalam naskah itu tercatat jelas pembahasan tentang bodohnya bila penurutan itu berlaku tanpa pemahaman yang semungkinnya. Seharusnya. Bila apa yang kau tunduk sekadar berdasarkan struktur rupa, warna kulit dan hak miranda. Bila kau gagal untuk fahami maksud angkat dan tadah tangan yang sewajarnya. Lama sebelum kau layak untuk tunding jari pada orang lain.

Tambah bodoh bila mahu berpelembagaan pada masa yang kau masih belum mampu bangun dari mimpi millenia. Terus mengagungkan kepincangan fikir orang lain.

Macam aku, aku ini juga pengagung. Jatuh cinta aku selalu pada perkara-perkara yang belum mampu aku gapai. Pada persembahan liar yang spontan itu tunjang gaya penulisannya. Pengarahannya. Kagum aku pada produksi dunia atas arahan yang di tingkat sana. Aku, melintas seorang pelangi, berharap yang nanti bila aku palingkan muka pada cermin berskala besar, aku ini bukan yang sephia. Tapi untuk aku terjun dalam lautan warna ungu atau mandi terus dengan merah darah, memang tidak mungkin.

Pada aku biar semua semula jadi. Biar aku mula dari hitam. Kemudian menjadi kelabu. Kemudiannya putih dan dari situ becambah menjadi warna-warna keraian lain. Dari semua sisi dunia. Baru nanti yang kuning itu ada cerita. Dan yang hijau itu ada senyumnya.

Walau perlahan. Biar semula jadi.

Realiti yang masih boleh untuk tidak dipersetujui. Yang semua kita mengimpikan tahap paling atas dalam kehidupan; popular, kaya malah syurga.


Tuesday, April 03, 2012

Telanjang.



Aku berbogel keletihan. Gadis Popcorn masih lagi dalam nyenyak semalam. Letih dengan permainan cinta. Mana tidaknya, dari belasan malam sa-hingga ke pagi aku dan gadis popcorn mengatur masa, mengukur keupayaan masing-masing dalam dunia buatan manusia. Menanti hari-hari keramat yang nanti bersaksikan tuan langit dan tuhan tanah. Tentang hari penyatuan.


Melihat gadis popcorn lena tidur, aku jadi sesah. Aku usap perlahan susun letak bujur sirih pada wajah gadis popcorn. Langsung dia kaku tidak bergerak. Aku capai tangan kanan gadis popcorn dan genggam erat. Kemas. Gadis popcorn hanya beralih, buka mata separuh dan tersenyum. Lalu kembali beralih. Tangan kanan tadi aku kucup. Tepat pada tanda garis pemati.


Ini yang di dalam genggam hati aku ini, bahagia.


Bukan sehari atau dua aku kenal gadis popcorn. Gadis separa matang yang awalnya tidak pernah tidak mempertikaikan saiz jam tangan mini yang aku dapatkan dari bangunan pencakar kembar di Kuala Lumpur. Dia, gadis popcorn yang tidak putus bekalan masalahnya. Yang tidak pernah habis cerita-cerita fantasnya. Yang tidak akan padam nyalaan api cintanya. Itu pada aku dan semua itu masih tidak berubah. Ah, Tuhan kan maha penderma. Aku perlu satu senyum untuk buat aku gembira dan aku yakin tuhan telah beri aku lebih.


Hikayat aku dengan kisah cinta agung bukan benda besar untuk dipersembahkan. Dibukukan. Malah kalau untuk menyusur masa silam aku, mencari tempat letak dan bertapak hati bintang aku ini, yang sebaik sekarang, aku kira itu perkara membazir. Tak akan dipertemukan dan sudah terang gagal. Sejarah dan cerita bekas pemilik hati bintang ini masih ada, tersimpan rapi dalam ruang yang sudah aku kuncikan sejak kali pertama aku ucap kata cinta pada gadis popcorn. Atau mungkin gadis popcorn yang ucap dulu. Aku tidak pasti.


Cuma untuk aku selongkarkan buat tatapan kau semua itu memang tidak mungkin. Dan yang itu aku pasti sangat.

Pernah aku tersua sebaris ayat dalam satu kitab pendek terjemahan manusia sosial yang mana mereka penulis, tegaskan bahawa cinta yang sejati itu bukan dari sesuatu yang kau dambakan tetapi dari seseorang yang mendambakan kau. Bilamana baik dan buruk kau adalah nafsu pada jiwanya. Yang bogel kau nanti, akan dia tutup dengan kata-kata pembasah hati. Buat selimut kau dari kepulan dosa hidup dan mati. Neraka mahupun syurga.


Yes, girls are fuckable. And so do guys.


Sunday, April 01, 2012

Ekualiti.



Aku sebenarnya takut untuk menulis. Sama macam aku takut untuk ucap hai pada perempuan dengan betis melayu terakhir yang melintas depan aku waktu kerja wayang dulu. Tak. Bukan sebab kurang keyakinan. Aku yakin sungguh dengan diri sendiri serta kurnia lain pada jasad yang aku miliki. Cuma aku takutkan kemungkinan. Dan ketakutan ini yang buat aku ganjil dari manusia-manusia biasa di luar sana.


Takut aku pada kemungkinan itu juga berasas, aku rasa. Kerna pada aku, dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian, adalah lebih baik aku memilih jalan selamat dari membazir nyawa-nyawa miskin aku dengan menjadi pengikut agama manusia lain. Sedut udara dari mulut busuk manusia lain dan hembus nafas sendiri untuk yang lain pula. Semua menunggu giliran, berbaris panjang menanti ketibaan syurga datang bergolek pada tapak kaki mereka.


Manakala aku yang ganjil ini akan dihumban terus jauh ke dalam neraka. Tidak adventurous dan takut untuk mencuba, mereka kata. Aku biar semua itu atas hakikat yang aku tidak mahu bangun pada hari esok dan sesalkan persamaan yang aku miliki dengan mereka. Dengan manusia lain. Bagi aku yang sama itulah sebenarnya tidak adventurous. Hidup ini indah. Kenapa perlu aku buat semua yang manusia lain buat? Kenapa tidak boleh hidup dalam dunia sendiri dan terus jadi ganjil macam diri sendiri?


Keganjilan itu bagi aku yang akan buat setiap manusia ini kelihatan sempurna. Bukan sama. Ada lelaki dan ada wanita. Sama saling melengkap teka-teki yang tertinggal.


Ya. Aku gilakan wanita. Gadis-gadis berkaki panjang dengan seluar getah melekat dan baju cotton tanpa lengan. Berlegar bawah terik panas mentari kota. Perempuan di Kuala Lumpur ini murah. Dijaja dari tepi jalan-jalan masjid sehingga kedai-kedai mewah dalam pasaraya besar berhawa dingin. Tapi untuk aku pergi dan dapatkan barang murah seperti ini, aku jadi tidak mampu. Tidak mampu untuk mengatasi takut aku pada kemungkinan tadi.


Aku selalu bayangkan mereka meliuk dalam gerak tari paling seksi pada tiang tegak dalam bilik empat segi dengan lampu merah gelap melatari. Satu persatu sutera buatan china itu berderai dari tubuh pemakainya. Penarinya. Dan tangan liar aku mula mencari letaknya. Haram dan kasar.


Aku jadi ketagih.


Nanti, jika sedang aku sibuk menikmati hidangan gadis-gadis berkaki panjang bila tuhan putuskan yang tabung nyawa aku sudah kehabisan isian semula. Dan dalam sedap mengelinjang menghadam kepuasan itu, aku gugur tanpa ada sebarang ruang untuk dikenang. Dikuburkan bersama jasad-jasad lain bernama manusia. Di atas padang rumput lapang yang sama. Serupa.


Yang membezakan hanya tanda nama kecil pada nisan yang serba putih. Tulisan jawi yang telah dirumikan. Buat manusia umum yang sudah dikafirkan kiblatnya.


Semua atas nama ekualiti.