
Tengah malam, Mikail terjaga. Basah peluh menyirami telanjangnya. Selimut nipis yang zahirnya ringan sudah sarat menyerap ketakutan Mikail. Sejuk hujan renyai malam itu langsung tidak dirasainya. Pandangan Mikail tepat ke langit bilik. Jauh di dalam hatinya masih terus berharap yang cerita tadi tidak akan pernah singgah pada realitinya.
Disisinya, Tia masih tertidur lena. Masih dalam dunianya. Mungkin sedang bermimpikan tentang ceria masa depan mereka berdua. Memikirkan itu, Mikail tersenyum sendiri.
Perempuan memang macam ini kan? Mereka akan pasang angan-angan indah dari awal saat perkenalan, berharap yang mimpi itu akan mampu mereka kecapi walau dengan sesiapa pun mereka dipasangkan. Sering impikan yang hidup ini semudah dan seindah hikayat dongeng dari tanah luar. Tentang betapa susahnya membunuh seekor naga berapi nanti akan berakhir dengan gembira yang ke hujung dunia.
Langsung tidak realistik.
Kadang-kadang bikin resah juga Mikail pada perempuan yang begini. Takut nanti dia akan mengecewakan mereka. Takut nanti dia akan menjadi pembunuh kepada impian-impian suci mereka. Dan yang paling dia takut ialah untuk hidup dibenci. Ya, dibenci orang yang dia cintai. Hanya kerana dia bukan seorang pemedang yang gagah menunggang kuda, menerobos seluruh pelusuk negara mencari pencabar untuk dikorbankan.
Rasa tadi kembali menerjah fikir Mikail. Satu demi satu babak permainan syaitan itu menghujani benaknya. Dan wajah kecil tadi terbang terus ke akalnya. Rautnya yang tanpa nama akhir, yang kabur tentang sisi keturunannya, sangat menghiris hati Mikail. Dan yang paling Mikail takut bila si kecil itu tidak henti-henti memanggilnya. Melambai-lambai kepadanya.
“Setan!!”
Mikail cuba mengelak. Mencari rentak yang lain. Mengalih pandangannya dari sekujur tubuh bernyawa tadi kepada jam dinding penjaga masa. Ditenungnya petak itu lama. Dalam gelap dia berkira-kira waktu yang tertinggal sebelum bahang matahari menyinggah tingkapnya. Habis cuba dikecilkan matanya tapi tetap dia gagal.
Serentak dengan itu juga, Tia terjaga. Melihat Mikail yang masih belum lena, Tia menghulurkan peluknya. Peluk yang tanpa lengah terus Mikail terima. Tia sedar yang sejak akhir-akhir ini dia sangat jauh dengan Mikail. Kitar hidupnya lebih banyak terbuang di pejabat bersama pelacur-pelacur korporat atau lebihan kerahan tenaga yang dia bawa pulang berbanding si pembasah hatinya itu. Malam tadi tidak terkecuali.
Tidak dia ingat bila kali terakhir dia menikmati tidur sesyurga itu.
Tia mengeratkan peluknya. Dakapan hangat tubuh Mikail membakar gigil Tia. Membakar gelora nafsu mereka berdua. Dari situ satu kucupan berahi singgah di dahi Mikail. Di hidung Mikail. Pipinya. Kiri dan kanan. Dan perlahan ia turun.
“Sayang, kondom hari tu you simpan dekat mana?”
