Wednesday, September 03, 2014

Bahagian-bahagian Kegembiraan.



Saat ini album penuh Joy Division - Unknown Pleasure ihsan youtube sedang berkecamuk menembusi gegendang telinga saya dan mereka-mereka yang melintas lalu ceruk ini. Sengaja saya biarkan bunyinya pada tahap yang paling mampu dihidang pembesar suara lapuk ini. Bunyi naik turun bass, vokal dan cimbal benar-benar menarik perhatian marhaen sekitar. Dua tiga kali juga penjaga bangunan warga asing itu menjengah mata ke sini. 

Mahu bergoyang sama mungkin. 

Ada baki satu jam sebelum saya boleh beredar keluar, mengharungi sesak kota Kuala Lumpur dan menuju ke syurga dunia. Setengah jam perjalanan. Itupun bergantung pada sisa tenaga dan keprihatinan para pembina masa hadapan. Kalau mereka masih punya kekuatan malah kedaifan untuk terus-terusan menjadi korban kerakusan metropolitan, mungkin berganda kiraan waktunya.

Perut sudah berkeroncong. Makanan tengahari ala Taiwan tadi sudah hilang kenyangnya. Tegang urat di leher sudah menebal lenguhnya. Sampai syurga nanti mahu peluk cium anugerah tuan tanah dan tuhan angkasa. Kedua-duanya. Sudah rindu sangat.

Akhir ini cukup banyak masa terbuang mencari kurniaan dewa dunia, melewati hari-hari hitam tanpa ada sesal dan kesal berbalah. Banyak kitar dosa dan pahala berbalik arah.

Entahlah. Kadang-kadang hati ini semacam mahu putus harap. Satu demi satu cerita menyinggah. Penat dan seakan tidak tertanggung dek upaya saya. Rasa macam mahu bermutasi menjadi raksasa. Hodoh tapi punya kuasa melimpah ruah. Mungkin dapat kekang duga dan bala yang dicampak ke bawah. Mungkin lebih lagi, mampu menyelamat dunia.

Selamatkan dunia?

Itu bukan raksasa. Itu superhero-lah!


No comments: