
Tengah malam itu aku terjaga. Basah peluh menyirami
telanjang. Selimut nipis yang zahirnya ringan sudah sarat menyerap ketakutanku.
Sejuk hujan renyai malam itu langsung tidak aku rasa. Pandanganku tepat ke langit
bilik. Jauh di dalam hati, masih terus berharap yang cerita tadi tidak akan
pernah singgah pada tanda realiti.
Disisi, dia masih tertidur lena. Masih dalam
dunianya. Pasti sedang bermimpikan tentang ceria masa depan kami berdua.
Memikirkan itu buat aku tersenyum sendiri.
Ah. Perempuan memang macam ini kan? Mereka pasang
angan-angan indah dari awal saat perkenalan, berharap yang mimpi itu akan mampu
mereka kecapi walau dengan sesiapa pun mereka dipasangkan. Sering impikan yang
hidup ini semudah dan seindah hikayat dongeng dari tanah luar. Tentang betapa
susahnya membunuh seekor naga berapi nanti akan berakhir dengan gembira yang ke
hujung dunia.
Langsung tidak realistik.
Kadang-kadang bikin resah juga aku pada perempuan
yang begini. Takut nanti aku akan mengecewakan mereka. Takut nanti aku akan
menjadi pembunuh kepada impian-impian suci mereka. Dan yang paling aku takut
ialah untuk hidup dibenci. Ya, dibenci orang yang aku cintai. Hanya kerana aku
bukan seorang pemedang yang gagah menunggang kuda, menerobos seluruh pelusuk
negara mencari pencabar untuk dikorbankan.
Rasa tidak selesa tadi kembali menerjah fikiran.
Satu demi satu babak permainan syaitan itu menghujani benakku. Dan wajah kecil
tadi terbang terus ke akal. Raut yang tanpa nama akhir, yang kabur tentang sisi
keturunannya, amat menghiris hati. Dan yang paling aku takut bila si kecil itu
dalam tangis memanggil namaku. Melambai-lambai.
Aku cuba mengelak. Mencari rentak yang lain.
Mengalih pandanganku dari sekujur tubuh bernyawa tadi kepada jam dinding
penjaga masa. Aku tenung petak itu lama. Dalam gelap aku berkira-kira waktu
yang tertinggal sebelum bahang matahari menyinggah tingkap. Habis aku cuba
kecilkan mata tetapi gagal.
Seraya dengan itu, dia terjaga. Melihat aku yang
masih belum terpejam, dia menghulurkan peluknya. Peluk yang tanpa lengah terus
aku terima. Aku rindukan dia. Dia yang sejak akhir-akhir ini terlalu jauh dari
aku. Dia yang kitar hidupnya kini lebih banyak tersisa bersama pelacur-pelacur
korporat atau lebihan kerahan tenaga yang dia bawa pulang ke rumah berbanding
si pembasah hatinya ini.
Dan malam ini tidak terkecuali.
Dia mengeratkan dakapannya. Hangat tubuhku
membakar gigilnya. Lantas membakar gelora nafsu kami berdua.