Friday, July 27, 2012

Hitam, Putih, Kelabu.



Peluk bantal dari jam dua angka dan sekarang mata saya macam mahu meletup. Bencinya bila hidup begini. Kaku pada tengah malam, seorang, tanpa nafas lain untuk berkongsi isi hari. Kalut kesah dan celaka tadi semua terperuk dalam benak hati.

Yang di hadapan saya cuma papan kekunci buruk tanpa hubungan luar. Menunggu untuk di hentam jari halus pemilik neraka ini. Taip, padam, taip, padam. Padam. Neraka.

Lewat hari ini semakin cerita masa hadapan itu membunuh saya. Secara diam. Dan berselindung.

Positif jadi saya sedayanya cuba membayang yang sebalik. Yang indah, yang cantik dan yang sempurna.

Hingga malaikat putih lempar satu nota putih dengan kata semangat yang tidak akan mungkin buat saya jatuh.

"Idiot."

In arabic, still.


Friday, June 22, 2012

Being young.



Saya menghadap awan. Yang tingginya bukan dalam jangkauan saya. Cantik. Tanpa berkelip, mata saya terus tepat pada sasaran putihnya.

Jauh satu meter dari saya, gadis popcorn masih kekal dengan pemanduan. Masih menutur kata-kata indah buat binaan masa hadapan. Mengatur cara menerima baik buruk dan hitam putih dunia. Mengusung suai warna-warna pelangi sebelum kiamat tiba.

Kadangnya saya jadi malas bila bertemu pilihan asing antara saya dan gadis popcorn. Simpang yang punyai jalan berbeza dan akan berbeza nanti keputusannya. Bila di situ mula timbul perbalahan. Pertandingan suara yang sudah pasti tidak akan saya menang.

Jadi saya diam. Dan biar gadis popcorn membida kepentingannya. Menempuh kering Sahara dan menjengah lautan biru. Semua. Hingga pemanduan tadi terhenti.

"Welcome to Paradise."


Thursday, May 10, 2012

Dosa.




Tengah malam itu aku terjaga. Basah peluh menyirami telanjang. Selimut nipis yang zahirnya ringan sudah sarat menyerap ketakutanku. Sejuk hujan renyai malam itu langsung tidak aku rasa. Pandanganku tepat ke langit bilik. Jauh di dalam hati, masih terus berharap yang cerita tadi tidak akan pernah singgah pada tanda realiti.

Disisi, dia masih tertidur lena. Masih dalam dunianya. Pasti sedang bermimpikan tentang ceria masa depan kami berdua. Memikirkan itu buat aku tersenyum sendiri.

Ah. Perempuan memang macam ini kan? Mereka pasang angan-angan indah dari awal saat perkenalan, berharap yang mimpi itu akan mampu mereka kecapi walau dengan sesiapa pun mereka dipasangkan. Sering impikan yang hidup ini semudah dan seindah hikayat dongeng dari tanah luar. Tentang betapa susahnya membunuh seekor naga berapi nanti akan berakhir dengan gembira yang ke hujung dunia.

Langsung tidak realistik.

Kadang-kadang bikin resah juga aku pada perempuan yang begini. Takut nanti aku akan mengecewakan mereka. Takut nanti aku akan menjadi pembunuh kepada impian-impian suci mereka. Dan yang paling aku takut ialah untuk hidup dibenci. Ya, dibenci orang yang aku cintai. Hanya kerana aku bukan seorang pemedang yang gagah menunggang kuda, menerobos seluruh pelusuk negara mencari pencabar untuk dikorbankan.

Rasa tidak selesa tadi kembali menerjah fikiran. Satu demi satu babak permainan syaitan itu menghujani benakku. Dan wajah kecil tadi terbang terus ke akal. Raut yang tanpa nama akhir, yang kabur tentang sisi keturunannya, amat menghiris hati. Dan yang paling aku takut bila si kecil itu dalam tangis memanggil namaku. Melambai-lambai.

Aku cuba mengelak. Mencari rentak yang lain. Mengalih pandanganku dari sekujur tubuh bernyawa tadi kepada jam dinding penjaga masa. Aku tenung petak itu lama. Dalam gelap aku berkira-kira waktu yang tertinggal sebelum bahang matahari menyinggah tingkap. Habis aku cuba kecilkan mata tetapi gagal.

Seraya dengan itu, dia terjaga. Melihat aku yang masih belum terpejam, dia menghulurkan peluknya. Peluk yang tanpa lengah terus aku terima. Aku rindukan dia. Dia yang sejak akhir-akhir ini terlalu jauh dari aku. Dia yang kitar hidupnya kini lebih banyak tersisa bersama pelacur-pelacur korporat atau lebihan kerahan tenaga yang dia bawa pulang ke rumah berbanding si pembasah hatinya ini.

Dan malam ini tidak terkecuali.

Dia mengeratkan dakapannya. Hangat tubuhku membakar gigilnya. Lantas membakar gelora nafsu kami berdua.