Saturday, August 25, 2012

Kata saya, penyelamat dunia.



Saya pernah simpan hasrat untuk terus pikat tuan angkasa. Sembah sujud pada nafas yang setiap perbuatan itu akan menghalalkan cara. Mengangkat jatuh yang teragung menjadi yang mulia.

Sekejap dan kembali saya pada tuhan tanah. Mengejar rasa dan nikmat manusia simpanan. Melacur diri dalam hayunan keindahan sementara. Menjadi homo seperti mereka-mereka yang sebelumnya.

Sebenarnya yang mengajar kau erti kehidupan itu bukan pengalaman tapi pengajaran. Rasa kesal yang akan kau ingat sampai mati. Rasa sesal yang akan buat kau mengeluh bila tiap kali kau mahu bangun menghadap siang.

Bukan cerita manis yang lima minit nanti berganti muka surat baru.

"Move on." kata mereka.

Angkat kaki dan tinggalkan apa yang kau sedang milik sekarang. Pada neraka mana yang sedang kau pijak. Dan buka ruang untuk bahagia yang baru.

Bahasa kompleks untuk bunuh diri.


Friday, July 27, 2012

Hitam, Putih, Kelabu.



Peluk bantal dari jam dua angka dan sekarang mata saya macam mahu meletup. Bencinya bila hidup begini. Kaku pada tengah malam, seorang, tanpa nafas lain untuk berkongsi isi hari. Kalut kesah dan celaka tadi semua terperuk dalam benak hati.

Yang di hadapan saya cuma papan kekunci buruk tanpa hubungan luar. Menunggu untuk di hentam jari halus pemilik neraka ini. Taip, padam, taip, padam. Padam. Neraka.

Lewat hari ini semakin cerita masa hadapan itu membunuh saya. Secara diam. Dan berselindung.

Positif jadi saya sedayanya cuba membayang yang sebalik. Yang indah, yang cantik dan yang sempurna.

Hingga malaikat putih lempar satu nota putih dengan kata semangat yang tidak akan mungkin buat saya jatuh.

"Idiot."

In arabic, still.


Friday, June 22, 2012

Being young.



Saya menghadap awan. Yang tingginya bukan dalam jangkauan saya. Cantik. Tanpa berkelip, mata saya terus tepat pada sasaran putihnya.

Jauh satu meter dari saya, gadis popcorn masih kekal dengan pemanduan. Masih menutur kata-kata indah buat binaan masa hadapan. Mengatur cara menerima baik buruk dan hitam putih dunia. Mengusung suai warna-warna pelangi sebelum kiamat tiba.

Kadangnya saya jadi malas bila bertemu pilihan asing antara saya dan gadis popcorn. Simpang yang punyai jalan berbeza dan akan berbeza nanti keputusannya. Bila di situ mula timbul perbalahan. Pertandingan suara yang sudah pasti tidak akan saya menang.

Jadi saya diam. Dan biar gadis popcorn membida kepentingannya. Menempuh kering Sahara dan menjengah lautan biru. Semua. Hingga pemanduan tadi terhenti.

"Welcome to Paradise."