Monday, April 01, 2013

Savori Terakhir Saorang Melayu.



Aku memandang langit dari balkoni tingkat tiga di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Awan hitam yang sedari tadi sarat memikul hasil sejatan Sungai Klang kini menghamburkan isinya ke pelusuk kota raya megah ini. Membasahi pencakar-pencakar langit yang semakin meninggi menggapai matahari pada siangnya dan bulan pada malamnya. Memberi sejuk pada umatnya, penganut-penganut agama kemodenan.

Di hujung jalan, dua pemuda sedaya upaya mengelak basah. Saorang beralaskan kertas surat khabar lama, bergerak laju merentas rintik hujan yang jatuh menimpa kemarau tanah tuhan. Saorang lagi berbungkus plastik merah di kepala. Baju kemeja panjang berwarna biru cerahnya itu penuh bercorakkan titis-titis hujan.

Aku tersenyum, tak berbaju, sambil gerimis-gerimis dari percikan hujan di hujung atap konkrit mula menjamah tubuh. Hembusan nikotin dari dunhill dua puluh itu aku sasarkan ke udara. Penawar sejuk.

Suara perbahasan dari kotak televisyen berputar jelas menerawang ke segenap bilik. Cerita lantang akan kejatuhan empayar Melaka bila kapal-kapal Portugis datang menyerang. Tentang bagaimana berpeluk tubuh pahlawan-pahlawan berdaulat negeri itu bila ditemukan keris mereka dengan senjata api. Tentang sang pengecut yang lebih rela menjadi hamba si putih dari  berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

“Bodoh!” getus hati aku.

Benci aku bila satu-satu perjuangan itu diperlekehkan. Dipersoalkan atas bahasa mahu mencari kebenaran yang mutlak. Bila status jasad yang sudah lama terkujur di lahad itu dipertikaikan haknya. Itu semua bodoh. Bagi aku bila mati seseorang itu, perlu dihormati jasad dan jiwanya, walau antagonis atau protagonis manapun wataknya di atas dunia. Tidak kira apa jua penamat dan kesudahannya.

Dan bagi aku setiap yang dari jenis homo-sapien itu punya perjuangan. Punya matlamat. Yang berbeza ialah sama ada ia benar atau salah, di mata kau, si homo-sapien yang lain.

Dia yang kita gelar pengecut itu mungkin sedang ada isteri di rumah yang sarat mengandung dan anak seusia satu tahun yang belum mampu mengerti apa itu syahid. Anak kecil yang akan menghujan soal pada ibunya bila bapanya tidak lagi pulang memberi peluk saat dia menangis diganggu mimpi-mimpi buruk pada gelap tengah malam. Bapa yang akan memujuknya tiap kali dia merengek sedang si ibu sibuk di dapur. Bapa yang nanti akan mengazankan kelahiran adiknya.

Dia yang kita kata pembunuh itu mungkin sedang bersusah-payah mempertahankan hasil usaha bertahun-tahun datuk moyangnya untuk anak-anak dan cucu-cucunya dari dimufliskan. Kerana dia tahu, tua atau matinya dia nanti, keturunannya tidak perlu mengemis dari tangan manusia lain. Semua tersedia ada. Halal atau haram, itu debatnya dengan tuhan. Menang atau kalah, tiada siapa yang ambil tahu.

Puntung rokok di tangan sudah padam nyalaannya. Hujan di luar juga sudah reda jatuhnya. Aku lemparkan diri di atas sofa pada penjuru bilik.

Di kaca televisyen, perbahasan tanpa hala tadi juga nampaknya sudah berakhir. Panel-panel yang tadi bertegang urat mempertahankan hujah mereka kini berbual mesra menghirup air mineral dari gelas kaca di bayangi kredit dan muzik latar rancangan yang berdurasi satu jam itu. Aku tidak salahkan mereka. Mereka juga ada mulut untuk disuap dan perut yang perlu diisi. Mungkin itu cara mereka berjuang.

Bosan. Aku matikan volumenya.

Keadaan di luar sudah hingar dengan deruman enjin kenderaan dan deruan suara manusia. Kuala Lumpur sudah kembali bernafas. Sebentar lagi akan berpusu-pusu warga kota keluar memenuhi setiap genap pelusuk ruang kota. Jalan Raja Laut, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Pudu akan padat dengan kereta pelbagai jenama. Hangar-hangar monorel dan transit aliran ringan dipenuhi manusia pelbagai bangsa. Dari awang hitam kepada albino putih hasil graduasi luar negara.

Rata-ratanya mahu pulang ke rumah. Lapan jam di tempat kerja bukan perkara mudah. Ada ceria, marah, sedih dan gembira. Ada syurga dan ada neraka.

Aku sudah hadam semuanya. Tujuh tahun di kota besar ini sudah cukup untuk mengajar aku tentang kerenahnya. Dulu aku juga seperti mereka. Keluar rumah seawal tujuh pagi menunggu bas mini yang setengah jam sekali baru nampak kelibatnya. Bersesak-sesak di dalam lautan manusia selama berjam-jam hanya untuk dibambu supervisor yang lima minit lewat itu tersangatlah besar dosanya dan mengikut telunjuknya itu ialah perbuatan yang paling mulia.

Jadi aku putuskan untuk beralah setelah hampir dua tahun membenci.

Ini Kuala Lumpur!

Kota yang menjanjikan harapan dan kegemilangan untuk darah-darah muda macam aku. Sekali gagal tidak bermakna pintu rezeki aku bukan di sini. Rezeki di sini melimpah ruah. Melambak di jalanan. Cuma perlu sedikit keringat dan keberanian. Cuma perlu buat pilihan.

 Jam sudah lima puluh lima minit melepasi angka enam dan aku masih tersandar di atas sofa pada penjuru bilik. Masih menghadap kotak televisyen yang sudah dua kali bertukar cerita tapi kekal bisu tanpa suara. Malasnya aku untuk bergerak. Malasnya aku untuk bangun berdiri. Malasnya aku untuk bersiap dan keluar dari dunia empat segi ini. Padahal ini waktu paling sesuai untuk aku mencari rezeki.

Lorong kecil di belakang bengkel teksi itu pasti meriah menjelang Maghrib. Itu jalan pintas dari stesen transit aliran ringan Pudu ke flat San Peng bagi mereka-mereka yang malas menempuh jalan besar dan memanjat tangga jejantas. Ataupun di belakang kelab Champions, denai kecil menghubungkan dua bahagian timur dan barat pasar Pudu. Di situ pada waktu-waktu begini selalunya sudah sunyi. Pasar-pasar borong di situ ditutup seawal jam enam setengah petang. Memberi ruang pada manusia-manusia seperti aku mengambil tempat.

Itu antara tempat aku bekerja. Tempat aku mencari makan. Tambahan sekarang sudah akhir bulan, pasti ramai marhaen-marhaen yang sudah tebal poketnya.

“Mane ko? Hujung bulan ni. Makan besar!!.” Pesanan ringkas dari Mel memati lamunan aku.

“5 minit. Tempat biase.” Balas aku seraya menyarung seluar pendek atas lutut, singlet hitam Topman dan slip-on merah jenama Toms. Semua hasil kerja keras aku sepanjang dua minggu lepas. Pisau lipat saiz kecil yang aku beli dari pasar karat itu aku selit kemas di balik tali pinggang.

Macam aku cakap, hidup ini semuanya tentang perjuangan. Ini perjuangan aku dan andai nafas aku terhenti pada perjuangan ini, aku harap, jasad aku nanti dihormati seperti saorang manusia yang lain; dimandikan, dikapankan, dikebumikan dan ditalkinkan.

Yang selebihnya, ialah antara bicara aku dengan tuhan.  

Tolong. Ini amanah aku. Untuk kamu.


No comments: