Thursday, May 10, 2012

Dosa.




Tengah malam itu aku terjaga. Basah peluh menyirami telanjang. Selimut nipis yang zahirnya ringan sudah sarat menyerap ketakutanku. Sejuk hujan renyai malam itu langsung tidak aku rasa. Pandanganku tepat ke langit bilik. Jauh di dalam hati, masih terus berharap yang cerita tadi tidak akan pernah singgah pada tanda realiti.

Disisi, dia masih tertidur lena. Masih dalam dunianya. Pasti sedang bermimpikan tentang ceria masa depan kami berdua. Memikirkan itu buat aku tersenyum sendiri.

Ah. Perempuan memang macam ini kan? Mereka pasang angan-angan indah dari awal saat perkenalan, berharap yang mimpi itu akan mampu mereka kecapi walau dengan sesiapa pun mereka dipasangkan. Sering impikan yang hidup ini semudah dan seindah hikayat dongeng dari tanah luar. Tentang betapa susahnya membunuh seekor naga berapi nanti akan berakhir dengan gembira yang ke hujung dunia.

Langsung tidak realistik.

Kadang-kadang bikin resah juga aku pada perempuan yang begini. Takut nanti aku akan mengecewakan mereka. Takut nanti aku akan menjadi pembunuh kepada impian-impian suci mereka. Dan yang paling aku takut ialah untuk hidup dibenci. Ya, dibenci orang yang aku cintai. Hanya kerana aku bukan seorang pemedang yang gagah menunggang kuda, menerobos seluruh pelusuk negara mencari pencabar untuk dikorbankan.

Rasa tidak selesa tadi kembali menerjah fikiran. Satu demi satu babak permainan syaitan itu menghujani benakku. Dan wajah kecil tadi terbang terus ke akal. Raut yang tanpa nama akhir, yang kabur tentang sisi keturunannya, amat menghiris hati. Dan yang paling aku takut bila si kecil itu dalam tangis memanggil namaku. Melambai-lambai.

Aku cuba mengelak. Mencari rentak yang lain. Mengalih pandanganku dari sekujur tubuh bernyawa tadi kepada jam dinding penjaga masa. Aku tenung petak itu lama. Dalam gelap aku berkira-kira waktu yang tertinggal sebelum bahang matahari menyinggah tingkap. Habis aku cuba kecilkan mata tetapi gagal.

Seraya dengan itu, dia terjaga. Melihat aku yang masih belum terpejam, dia menghulurkan peluknya. Peluk yang tanpa lengah terus aku terima. Aku rindukan dia. Dia yang sejak akhir-akhir ini terlalu jauh dari aku. Dia yang kitar hidupnya kini lebih banyak tersisa bersama pelacur-pelacur korporat atau lebihan kerahan tenaga yang dia bawa pulang ke rumah berbanding si pembasah hatinya ini.

Dan malam ini tidak terkecuali.

Dia mengeratkan dakapannya. Hangat tubuhku membakar gigilnya. Lantas membakar gelora nafsu kami berdua.



Friday, April 13, 2012

Bilik tidur kosong itu nampak penuh sesak malam ini.



Malam itu puas saya berperang dengan hati sendiri. Dari satu pagi, saya rela paksa diri untuk mati sementara dan menuju jam empat, saya masih gagal.

Rata-rata fikir saya berkisar tentang keluh rasa gadis popcorn pada awal malam semalam. Tentang tidak selesa. Tentang hedonisma manusia beragama bosan dan mudah percaya.

Juga tentang le familia.

Kotak hidup saya dan keluarga terlalu kecil skalanya. Ukur lilitnya. Kecil yang kalau mahu susun atur salah silah cerita dalam luas kertas mahjong, satu saya rasa sudah cukup besar. Berbaki. Jadi untuk kebarangkalian yang gadis popcorn nanti akan di heret, di jaja ke lain dunia itu memang tidak ada.

Bukan yang lain itu tidak ada. Ada, cuma suara mereka sudah cukup lama saya bisukan dan pandangan mereka sudah siap dari awal saya gelapkan. Biar usul-usul kritik dosa dari mereka nanti terbang terus dengan bawaan angin semasa. Hilang tanpa perlu saya dengar dan tanpa perlu siapa sakit.

Biar.

Dan menghampiri jam lima, saya masih belum habis membilang biri-biri putih dalam kandang besar hijau separuh padang bola. Masih berkira-kira akan warna asal sang serigala. Masih membunuh garis-garis jiwa yang sudah semakin dekat tarikh luputnya.

Hidup ini singkat, tapi kalau untuk saya bazirkan pada nama-nama dalam senarai jiwa, itu tiada masalah bagi saya.

Tapi bukan mereka; maggots.


Monday, April 09, 2012

Reminiscence.



Lapang hujung minggu itu diguna sebaiknya oleh saya dan gadis popcorn. Dua hari bermakna yang akan tercatit mati dalam jiwa. Dari kentang goreng, the voices dan tentang siapa yang popular. Dua hari yang berjarak dengan dunia, jauh dari tuan tanah dan tuhan angkasa.

Kisah seorang bintang jagung yang sedang bahagia.