Friday, April 13, 2012

Bilik tidur kosong itu nampak penuh sesak malam ini.



Malam itu puas saya berperang dengan hati sendiri. Dari satu pagi, saya rela paksa diri untuk mati sementara dan menuju jam empat, saya masih gagal.

Rata-rata fikir saya berkisar tentang keluh rasa gadis popcorn pada awal malam semalam. Tentang tidak selesa. Tentang hedonisma manusia beragama bosan dan mudah percaya.

Juga tentang le familia.

Kotak hidup saya dan keluarga terlalu kecil skalanya. Ukur lilitnya. Kecil yang kalau mahu susun atur salah silah cerita dalam luas kertas mahjong, satu saya rasa sudah cukup besar. Berbaki. Jadi untuk kebarangkalian yang gadis popcorn nanti akan di heret, di jaja ke lain dunia itu memang tidak ada.

Bukan yang lain itu tidak ada. Ada, cuma suara mereka sudah cukup lama saya bisukan dan pandangan mereka sudah siap dari awal saya gelapkan. Biar usul-usul kritik dosa dari mereka nanti terbang terus dengan bawaan angin semasa. Hilang tanpa perlu saya dengar dan tanpa perlu siapa sakit.

Biar.

Dan menghampiri jam lima, saya masih belum habis membilang biri-biri putih dalam kandang besar hijau separuh padang bola. Masih berkira-kira akan warna asal sang serigala. Masih membunuh garis-garis jiwa yang sudah semakin dekat tarikh luputnya.

Hidup ini singkat, tapi kalau untuk saya bazirkan pada nama-nama dalam senarai jiwa, itu tiada masalah bagi saya.

Tapi bukan mereka; maggots.


Monday, April 09, 2012

Reminiscence.



Lapang hujung minggu itu diguna sebaiknya oleh saya dan gadis popcorn. Dua hari bermakna yang akan tercatit mati dalam jiwa. Dari kentang goreng, the voices dan tentang siapa yang popular. Dua hari yang berjarak dengan dunia, jauh dari tuan tanah dan tuhan angkasa.

Kisah seorang bintang jagung yang sedang bahagia.


Wednesday, April 04, 2012

Kelas pertama.




Hidup dalam dunia ini senang. Pertama kerna kau sentiasa punya garisan untuk kau berhati-hati dari terlepas ke luar. Kedua sebab kau punya sekeliling yang kalau tidak banyak, akan ada satu atau dua yang akan terus mengingatkan kau tentang susun-kitar hidup semasa. Yang mana setiap kali kau menghampiri jatuh ke garisan itu, maka pasti akan ada tangan-tangan suci menarik kau untuk naik berdiri. Meninggal jauh dari ruang tadi.

Dengan mereka ini kau belajar erti kehidupan. Macam aku; dari famili, teman baik dan sekeliling, aku belajar tafsir dunia satu langkah demi satu langkah yang lain.

Mereka yang kerap kali persoalkan pada aku tentang pembahagian dosa dan pahala. Tentang catitan tidak rasmi kiri dan kanan aku. Ya, adat hidup seorang lulusan agama yang atur hidupnya umpama pelantar neraka. Bagi mereka. Tidak langsung bagi aku. Ini syurga aku. Walau bagaimana jijik dan kotor mereka tafsirkan status aku, walau bagaimana rendah mereka letakkan taraf unjuran aku, aku tidak peduli. Ini pilihan aku. Jalan hidup dan aku bahagia begini.

Aku hadam satu penulisan pengembaraan dokumentasi ke utara negara. Tempat tinggal yang manusianya bertarung nyawa atas tiket merdeka. Menuntut kebebasan dan kesudahan dari petuannya. Dalam naskah itu tercatat jelas pembahasan tentang bodohnya bila penurutan itu berlaku tanpa pemahaman yang semungkinnya. Seharusnya. Bila apa yang kau tunduk sekadar berdasarkan struktur rupa, warna kulit dan hak miranda. Bila kau gagal untuk fahami maksud angkat dan tadah tangan yang sewajarnya. Lama sebelum kau layak untuk tunding jari pada orang lain.

Tambah bodoh bila mahu berpelembagaan pada masa yang kau masih belum mampu bangun dari mimpi millenia. Terus mengagungkan kepincangan fikir orang lain.

Macam aku, aku ini juga pengagung. Jatuh cinta aku selalu pada perkara-perkara yang belum mampu aku gapai. Pada persembahan liar yang spontan itu tunjang gaya penulisannya. Pengarahannya. Kagum aku pada produksi dunia atas arahan yang di tingkat sana. Aku, melintas seorang pelangi, berharap yang nanti bila aku palingkan muka pada cermin berskala besar, aku ini bukan yang sephia. Tapi untuk aku terjun dalam lautan warna ungu atau mandi terus dengan merah darah, memang tidak mungkin.

Pada aku biar semua semula jadi. Biar aku mula dari hitam. Kemudian menjadi kelabu. Kemudiannya putih dan dari situ becambah menjadi warna-warna keraian lain. Dari semua sisi dunia. Baru nanti yang kuning itu ada cerita. Dan yang hijau itu ada senyumnya.

Walau perlahan. Biar semula jadi.

Realiti yang masih boleh untuk tidak dipersetujui. Yang semua kita mengimpikan tahap paling atas dalam kehidupan; popular, kaya malah syurga.